Rotary merupakan sebuah organisasi global yang terdiri dari ahli-ahli perniagaan dan ahli-ahli profesional yang menyumbang kepada misi-misi kemanusiaan, menyokong standard etika yang tinggi dalam segala yang dilakukan dan membantu dalam pembangunan muhibbah di kalangan masyarakat serta kehidupan yang harmoni di dunia. Terdapat 1.2 juta ahli Rotary dibawah naungan lebih 32,000 Kelab, dan kini bertapak di lebih dari 200 negara di seluruh dunia.

Ahli-ahli Kelab Rotary terdiri dari individu-individu di kalangan lelaki dan wanita yang kebanyakannya berkecimpung dalam bidang perniagaan dan ahli-ahliprofesional. Kelab Rotary di seluruh dunia bermesyuarat setiap minggu dan tidak sama sekali berbincang tentang hal-hal berkaitan politik dan isu-isu keagamaan. Rotary juga adalah sebuah kelab yang terbuka dimana keahliannya dibuka kepada masyarakat tidak kira latar belakang budaya, bangsa dan fahaman.

Objektif utama Rotary adalah memberi khidmat kepada masyarakat di serata dunia. Ahli-ahli Kelab Rotary membangunkan projek-projek khidmat masyarakat yang bertumpu kepada masalah-masalah kritikal seperti kebajikan kanak-kanak, masyarakat yang hidup dalam keadaan daif dan kemiskinan, pemeliharaan persekitaran, menangani masalah buta huruf, dan menangani masalah keganasan. Ahli-ahli juga menyumbang kepada program-program belia seperti penyediaan peluang-peluang pendidikan serta program-prograam pertukaran antarabangsa untuk pelajar, guru, dan golongan profesional bagi pembangunan vokasional dan kerjaya. Moto Rotary adalah ‘Service Above Self’ yang bermaksud keutamaan perkhidmatan oleh ahli-ahli Rotary adalah untuk masyarakat dan melebihi dari kepentingan ahli-ahli sendiri.

Setiap Kelab Rotary di serata dunia berfungsi sebagai sebuah organisasi yang beroperasi dan ditadbir secara bebas oleh ahli-ahli sendiri. Namun demikian, setiap ahli di seluruh dunia bersatu dalam suatu tujuan utama, iaitu Kempen Pembasmian Polio secara global.

Pada tahun 1980an, ahli-ahli Kelab Rotary berjaya mengumpulkan dana sebanyak USD$240 juta bagi tujuan memberi imunisasi kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Menjelang tahun 2005, sempena sambutan 100 tahun penubuhan Rotary dan juga sempena pelancaran sasaran untuk mencapai dunia yang bebas dari Polio, program Polio Plus mensasarkan sumbangan sebanyak USD$500 juta untuk tujuan ini.

Sebagai tambahan, Rotary juga telah menyediakan pasukan-pasukan sukarelawan di seluuh dunia bagi membantu mempromosi dan menjalankan aktiviti-aktiviti pada Hari Imunisasi Nasional di setiap negara yang mengalami pandemik Polio ini.

Sehingga kini, sebanyak 2 bilion kanak-kanak telah berjaya diimunisasi, 5 juta individu berjaya diselamatkan dari kecacatan, dan lebih dari 250,000 kematian akibat polio telah dapat dicegah.

Pada bulan November 2007, Rotary Antarabangsa dianugerahkan geran sebanyak USD$100 juta oleh Yayasan Bill & Melinda Gates bagi membantu memerangi pembasmian polio.

Yayasan Rotary Antarabangsa adalah sebuah badan bukan berasaskan keuntungan, yang mempromosikan program perkhidmatan kemanusiaan antarabangsa dan pertukaran pendidikan dan budaya.

Sumber dana adalah melalui sumbangan para sukarelawan dari kalangan ahli-ahli Kelab Rotary sendiri dan juga individu-individu yang mempunyai misi yang sama, iaitu untuk mewujudkan kehidupan yang lebih baik untuk semua.

Sejak tahun 1947, Yayasan ini berjaya menyumbangkanlebih dari USD$ 1.1 bilion melalui bantuan kemanusiaan dan pendidikan, yang kemudiannya ditadbir oleh kelab-kelab dan daerah Rotary tempatan.

Matlamat Rotary

Matlamat Rotary memberi keutamaan kepada khidmat-khidmat yang diberikan oleh ahli-ahlinya dan menyokong prinsip-prinsip asas Rotary dengan melakukan:
 
PERTAMA: Pembangunan semangat setia kawan di kalangan ahli-ahli Rotary sebagai asas bagi mewujudkan peluang-peluang untuk berkhidmat untuk masyarakat
KEDUA: Mengamalkan tahap etika yang tinggi dalam urusan-urusan perniagaan dan kerjaya, dan meletakkan setiap kerjaya ahli di tahap yang tinggi dan menjadikan kerjaya beliau sebagai peluang untuk berkhidmat untuk masyarakat
KETIGA: Menanamkan ide-ide berteraskan khidmat masyarakat ke dalam jiwa setiap ahli Rotary sama ada di dalam kehidupan peribadi, perniagaan, atau kehidupan bermasyarakat
KEEMPAT: Meningkatkan kefahaman tentang budaya, dan tatacara masyarakat di seluruh dunia, menanam sifat-sifat muhibbah di kalangan ahli-ahli dan memastikan keamanan diterap dalam diri ahli-ahli melalui permuafakatan dalam perniagaan dan juga kerjaya, demi kepentingan masyarakat
 

Apakah Fungsi Rotary?

Ahli-ahli Rotary menggalas bersama tanggungjawab dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi dunia pada masa kini. Sejumlah lebih 35,000 Kelab Rotary di seluruh dunia bekerjasama untuk menangani isu-isu berkaitan:

  • Mempromosikan kedamaian dalam kehidupan bermasyarakat
  • Membasmi penularan penyakit-penyakit berjangkit
  • Menyediakan kemudahan untuk mendapatkan sumber air bersih
  • Melindungi para ibu dan kanak-kanak
  • Membangunkan kemudahan-kemudahan pendidikan
  • Menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan

Hubungi kami: